Selamat Datang Ke Laman Blog Sekolah Kebangsaan Alai, Melaka

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, selamat datang ke laman blog sekolah kami ini. Semoga dengan adanya blog ini segala maklumat berkenaan sekolah dan aktiviti yang dijalankan dapat dikongsikan bersama dan dijadikan panduan untuk kita dimasa yang akan datang. Sekian, Terima Kasih.

Sejarah Sekolah


-->
Sekolah Kebangsaan Alai terletak lebih kurang 8 km. dari bandar Melaka. Nama asal Sekolah Kebangsaan Alai ini ialah Sekolah Melayu Punggur. Sekolah Melayu Punggur ini diasaskan oleh penghulunya , Hj. Md. Said bin Hj. Mahmud. Bangunan asal Sekolah Melayu Punggur ini ialah sebuah surau yang terletak berhadapan dengan rumahnya. Anaknya sendiri iaitu Hj. Ahmad bin Hj. Md. Said, diberi tugas memimpin surau itu dengan dibantu oleh Othman bin Ab. Jalil. Mata pelajaran utama ketika itu ialah mengaji Al-Quran , membaca serta menulis Jawi. 


Rajah 1     :        Blok A – dibina pada 02.11.1929

 
-->
Oleh sebab lama-kelamaan tempat belajar yang berbentuk surau itu tidak sesuai untuk dijadikan sekolah, Kerajaan telah mendirikan sebuah sekolah berbentuk empat persegi dengan bertiang batu, berlantai papan dan beratap nipah yang luasnya kira-kira 60 kaki x 60 kaki. Bangunan itu diberi nama Sekolah Melayu Punggur kerana letaknya di kawasan Solok Punggur. Mata pelajaran yang diajar ketika itu ialah Bacaan, Tulisan, Karangan, Kira-Kira dan Ilmu Alam. Semuanya menggunakan tulisan Jawi dan pada tahun 1906 baru diajar sedikit demi sedikit mengenal Huruf Rumi.

Pada  02.11.1929 Sekolah Melayu Punggur berpindah ke bangunan baru yang dikenali sebagai bangunan Blok A Sekolah Kebangsaan Alai. Di sekolah baru ini sukatan pelajarannya semakin bertambah dari 5 jenis kepada 10 jenis iaitu Bacaan, Tulisan, Karangan, Kira-Kira, Ilmu Alam, Kesihatan, Lukisan, Ilmu Tanaman, Menganyam dan Agama.

Sekitar tahun 1934, Sekolah Melayu Punggur telah bertukar nama kepada Sekolah Kebangsaan Alai dengan alasan kedudukan tapak sekolah yang baru itu di kawasan Kampung Alai dan nama Punggur itu sendiri tidak sesuai kerana ia membawa maksud sebatang pohon yang tidak berdaun dan tidak berbuah yang dianggap tidak menunjukkan kemajuan.

Perubahan-perubahan ini seterusnya memperlihatkan proses pertukaran nama sekolah kepada Sekolah Kebangsaan Alai dan juga pertambahan bangunan-bangunan baru yang dikenali Blok B, Blok C dan Blok D  mula digunakan pada sesi pembelajaran 2001.